Bursa Malaysia dibuka terendah dalam tempoh 10 tahun

  • By Wendy. V
  • March 13, 2020
  • 0
  • 178 Views

Susulan kejatuhan mendadak sehingga 2,300 mata di Wall Street, indeks utama Bursa Malaysia, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencatatkan kejatuhan sehingga 5.15 peratus pada sekitar jam 9.04 pagi kepada 1,346.21 sekali gus menjadi paras terendah sejak 2010, daripada 1,419.43 ketika ditutup semalam.

Tekanan jualan di Bursa Malaysia pagi ini dipengaruhi oleh penurunan ketara dalam tempoh semalaman di Wall Street. Sentimen pasaran juga lemah seperti ditunjukkan FBM Small Cap (-6.08 peratus), FBM ACE (-6.27 peratus) dan Teknologi (-6.94 peratus).

“Saham-saham Malaysia akur kepada tekanan jualan susulan pengisytihar-an WHO bahawa Covid-19 adalah satu pandemik.

“Susulan langkah WHO itu, kelembapan global mungkin meningkat melebihi paras 50 peratus (daripada 25 peratus yang dicatatkan sejak awal tahun ini) dan menimbulkan kebimbangan bahawa kesan penularan virus itu mungkin dialami di seluruh dunia,” menurut Malacca Securities Sdn Bhd.

Susulan pengumuman WHO itu, Purata Perindustrian Dow Jones turun 9.99 peratus, S&P 500 susut 9.51 peratus dan Nasdaq turun 9.43 peratus semasa mengakhiri dagangan masing-masing. Prestasi itu merupakan penurunan harian paling teruk dialami indeks Dow Jones dan S&P 500 bagi tempoh sejak 1987.

Menurut Ketua Strategi Pasaran Asia di AxiTrader, Stephen Innes, pelabur kini sangat khuatir berkenaan keupayaan kerajaan dalam berdepan penularan COVID-19.

Dalam masa yang sama, kekhuatiran turut diburukkan lagi dengan penutupan bandar dan negara oleh kerajaan di Eropah dan larangan perjalanan yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Bank pusat Amerika, The Fed pada Khamis turut mengumumkan suntikan kecairan jangka pendek bernilai AS$1.5 trilion, namun ia masih gagal memulihkan sentimen. Menurut Innes, pelabur kini mahukan tunai dan ini dapat dilihat dengan penjualan asset termasuk Bitcoin, emas dan aset lain.

Untuk rekod, saham di pasaran Asia turut didagangkan rendah dengan indeks utama Nikkei 225 jatuh sehingga 10 peratus dalam dagangan pagi. Pelabur turut dilihat beralih ke matawang selamat, meningkatkan nilai dolar AS berbanding Ringgit. Menurut laporan, Ringgit susut kepada 4.2800/2850 berbanding dolar AS.

Sementara harga minyak pula terus jatuh kepada AS$30 setong.

London juga berdepan hari paling teruk sejak 1987 dan Frankfurt pula adalah hari paling gelap sejak 1989, tahun Tembok Berlin jatuh. Tidak terkecuali, Paris berdepan kejatuhan harian paling teruk.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *