Malaysia Airlines, AirAsia potong gaji tangani kesan COVID-19

  • By Wendy. V
  • March 11, 2020
  • 0
  • 312 Views

Dua syarikat penerbangan utama negara, Malaysia Aviation Group (MAG) dan AirAsia Bhd melaksanakan langkah mengurangkan gaji kakitangan untuk tempoh beberapa bulan dalam usaha menangani kesan COVID-19 yang menjejaskan pendapatan syarikat.

MAG akan mengurangkan 10 peratus gaji serta elaun pengurusan kanan semua syarikat di bawahnya selama tiga bulan bermula bulan ini, kata sumber rapat syarikat itu

MAG adalah syarikat induk kepada Malaysia Airlines Bhd; Firefly; MASwings; MAB Kargo; AeroDarat Services Sdn Bhd; MAB Academy; perkhidmatan catar penerbangan umrah dan haji, Amal; perkhidmatan penyelenggaraan MAB Engineering dan pajakan pesawat.

Pengurangan itu, katanya, adalah langkah permulaan yang akan berjalan selama tiga bulan dan jika aliran kewangan kumpulan itu masih terjejas dengan kesan COVID-19, maka ia mungkin akan diteruskan.

“Langkah pengurangan gaji dan elaun ini hanya akan membabitkan pengurusan kanan dan tidak membabitkan pekerja di peringkat bawahan.

“Buat masa ini, tiada pembuangan pekerja akan dilakukan dan MAG akan sedaya upaya untuk mengekalkan semua kakitangannya,” katanya kepada BH, ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Izham Ismail, berkata langkah pemotongan kos itu adalah bagi menangani permintaan lemah perjalanan udara akibat COVID-19.

“Malangnya, COVID-19 telah menjejaskan momentum pertumbuhan kumpulan. Kita perlu bersatu untuk memerangi krisis ini. Sembilan minggu telah berlalu, aliran tunai bukan sahaja menjejaskan MAG tetapi juga industri (penerbangan) secara keseluruhan,” katanya menerusi video kepada kakitangan MAG hari ini.

Dalam video berdurasi tujuh setengah minit itu, Izham berkata MAG juga tidak terkecuali dengan tempias kesan COVID-19.

“Oleh itu, tindakan drastik perlu diambil oleh kita semua. Saya akan berhubung lebih kerap dengan anda semua pada hari dan minggu mendatang, mengenai apa yang perlu kita lakukan.

“Ia bukan sahaja menjejaskan syarikat penerbangan, tetapi juga hotel, peruncit, tempat pasaran dan pusat membeli-belah, “katanya.

Beliau berkata syarikat penerbangan global lain juga terpaksa menjalankan langkah pengurangan kos untuk mengekalkan aliran tunai termasuk Emirates, Cathay Pacific, Singapore Airlines (SIA) dan Malindo Air.

SIA dilaporkan memotong gaji pengurusan kanan sebanyak 10-15 peratus bermula 1 Mac lalu dan menawarkan skim cuti tanpa gaji sukarela kepada pekerja.

Malindo Air pula akan mengenakan potongan gaji 50 peratus ke atas kakitangannya sebagai tambahan kepada dua minggu cuti tanpa gaji untuk menampung impak Covid-19.

“Pasukan kepemimpinan senior dan saya juga telah melakukan sumbang saran langkah-langkah berpotensi untuk melakukan perkara yang sama untuk MAG. Kami akan memutuskan tindakan segera dan jangka panjang dalam masa beberapa hari, “katanya.

Sementara itu sumber dari Kumpulan AirAsia berkata, syarikat penerbangan itu turut melaksanakan langkah pemotongan gaji membabitkan semua pengurusan kanannya.

Katanya, langkah itu tidak akan membabitkan kakitangan yang lain kerana AirAsia telah menjalankan langkah untuk membendung kos di seluruh operasi perniagannya bagi mengurangkan kesan kepada kakitangannya.

“Kumpulan perlu melaksanakan langkah ini bagi memastikan aliran kewangan kami terus mampan dan berdaya saing. Ada penerbangan lain yang mengurangkan kos lebih tinggi membabitkan keseluruhan kakitangannya.

“Inilah situasi yang dihadapi syarikat penerbangan ketika ini bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia susulan impak yang dibawa oleh COVID-19,” katanya.

Dalam pada itu Kumpulan AirAsia dalam kenyataannya semalam berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa langkah membendung kos yang dilaksanakan merentas semua operasi perniagaannya tidak akan memberi kesan langsung atau kesan yang minimum kepada semua pekerjanya terutama daripada mereka yang berpendapatan rendah.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Bo Lingam berkata, langkah pembendungan itu dibuat ekoran industri pengangkutan udara global terus berdepan ketidaktentuan susulan penualran COVID-19.

Katanya, kumpulan itu telah menyediakan pelbagai langkah pembendungan kos di seluruh operasi perniagaannya dengan penekanan untuk meminimumkan kesan terhadap para pekerjanya, sambil memastikan kesinambungan perniagaan dengan keutamaan keselamatan dan keselamatan operasi penerbangan.

Sementara itu, MIDF Research menurunkan penilaian sektor penerbangan kepada “neutral” daripada “positif” sebelum ini memandangkan impak COVID-19 ke atas permintaan perjalanan, kapasiti tempat duduk dan pertumbuhan trafik industri itu.

Firma penyelidikan itu berpendapat akan ada impak besar daripada penurunan kedatangan pelancong China ke atas sektor pelancongan ASEAN ekoran penularan COVID-19 berbanding wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2003.

Wabak SARS pada 2003 menyaksikan jumlah kedatangan pelancong dari China ke ASEAN turun sebanyak 15.6 peratus tahun ke tahun sebelum mencatatkan pemulihan 32.9 peratus pada tahun berikutnya.

Mengenai faktor muatan, MIDF Research berkata syarikat penerbangan berusaha untuk mengurangkan kapasiti di tengah-tengah penurunan permintaan perjalanan dan larangan perjalanan yang dikenakan oleh lebih 50 negara susulan wabak COVID-19.

Ia menjangka faktor muatan bagi AirAsia Group Bhd (AAGB) dan sekutu jarak jauhnya, AirAsia X Bhd (AAX) turun di bawa 80 peratus pada suku-suku akan datang.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *