Pelarian Rohingya gagal berlabuh di Malaysia kembali semula ke Bangladesh, sekurangnya 32 orang maut

  • By Wendy. V
  • April 16, 2020
  • 0
  • 256 Views

Selama bertahun-tahun, etnik Rohingya dari Myanmar telah menaiki bot-bot kapal yang diatur oleh ejen-ejen penyeludup dengan harapan dapat mencari pelindungan di negara Asia Tenggara yang lain. Pelarian Rohingya ini kebiasaannya memulai pelayaran semasa musim kering di antara bulan November hingga Mac, ketika air laut lebih tenang dan mudah untuk berlayar.

Sekurang-kurangnya 32 orang etnik Rohingya maut dalam sebuah kapal yang hanyut beberapa minggu setelah gagal memasuki perairan negara Malaysia, seperti dilaporkan pihak pengawal pantai Bangladesh pada hari ini.

Memetik laporan Reuters, terdapat 396 penumpang yang kelaparan telah diselamatkan setelah berada di laut selama kira-kira dua bulan.

Sebuah kumpulan hak asasi manusia mendakwa banyak kapal lain dipercayai turut membawa pelarian Rohingya, namun kini berdepan kesukaran untuk berlabuh apabila Malaysia dan Thailand menutup dan memperketatkan sempadan negara bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19.

“Mereka berada di laut selama dua bulan dan dalam kelaparan,” kata seorang pengawal pantai itu kepada Reuters dalam satu kiriman mesej, dengan menambah bahawa kapal tersebut dibawa berlabuh ke perairan pada lewat Rabu.

Pegawai itu memaklumkan bahawa ‘keputusan muktamad’ telah dibuat untuk menghantar kesemua penumpang kapal yang diselamatkan pulang ke Myanmar. Pengawal pantai pada awalnya mengatakan 382 telah diselamatkan tetapi kemudian mendapati jumlahnya adalah lebih tinggi selepas disemak.

Melalui gambar video yang ditunjukkan memaparkan himpunan pelarian yang sebilangan besar wanita dan kanak-kanak, sesetengh daripada mereka kelihatan sangat kurus dan hampir tidak dapat berdiri, dibantu ke pantai. Seorang pelarian mendakwa, kumpulan terbabit dipaksa berpatah balik selepas tidak dapat menghampiri perairan Malaysia sebanyak tiga kali. Dakwanya lagi, pergaduhan turut tercetus antara penumpang dan anak kapal.

Data Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menawarkan untuk membantu kerajaan Bangladesh bagi memindahkan pelarian-pelarian ini ke pusat kuarantin selain rawatan perubatan untuk mereka.

Sebelum ini, pihak Maritim Malaysia telah berjaya menahan kapal yang membawa etnik Rohingya dan cuba berlabuh di dekat perairan Pulau Langkawi.  Mereka terpaksa berpatah balik ke Bangladesh selepas tidak dibenarkan untuk masuk ke dalam negara atas faktor kebimbangan penularan wabak COVID-19.

UNHCR melaporkan lebih 100,000 etnik Rohingya menetap di Malaysia selepas diusir dari Myanmar, namun mereka masih dianggap pendatang tanpa izin.

Sehingga kini, Rohingya masih tidak diiktiraf sebagai penduduk sah di Myanmar serta berdepan dengan pelbagai sekatan termasuk dinafikan kebebasan untuk bergerak dan akses kepada kesihatan serta pendidikan.

Myanmar turut menafikan penganiayaan ke atas etnik Rohingya dan mengatakan mereka bukan kumpulan etnik pribumi tetapi pendatang dari Asia Selatan, walaupun kebanyakan daripa mereka dapat mengesan keturunan mereka sejak berabad-abad lamanya.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *