The Malaysia Post

Apple umumkan keluaran terbaru, iPhone SE 2020 dengan harga pasaran lebih mampu milik

Dengan kegawatan pandemik COVID-19, Apple tidak dapat melancarkan pengeluaran model baharu telefon melalui acara rasmi fizikal. Apple terpaksa membatalkan acara pelancaran dan hanya mengumumkannya secara atas talian.

Apple secara rasminya telah mengumumkan model baru iPhone SE, model iPhone yang lebih mampu milik dengan saiz kecil dan spesifikasi terkini.

Ianya mempunyai rekaan model yang hampir mirip iPhone 8 dengan ruang bezel pada bahagian atas dan bawah peranti, selain mempunyai keluasan skrin paparan berukuran 4.7 inci dengan panel LCD. Ia beresolusi 750 x 1334 dengan PPI hanya 326 pixel sahaja. Selain itu, turut hadir dengan fungsi pengimbas cap jari Touch ID klasik di bahagian bezel bawah peranti.

Model iPhone SE sememangnya adalah iPhone tetapi dengan kualiti kamera dan prosesor yang lebih baik, pada kadar harga lebih rendah. Walaupun datang dengan reka bentuk lama, cip pada model iPhone SE dijana oleh Apple Bionic A13 yang juga merupakan cip digunakan pada siri baharu iPhone 11 dan 11 Pro sebelum ini.

Ini akan memastikan ia tampil dengan jangka hayat yang lebih tahan lama berbanding model iPhone 8, yang mempunyai cip A11 pada ketika itu. Turut dijamin bahawa tiada versi ‘plus-sized’ untuk generasi kedua iPhone SE.

Sebagai sebuah peranti mampu milik, prosesor pada iPhone SE baharu ini juga terdapat beberapa ciri kamera baru. Hanya satu kamera belakang yang dimuatkan bersaiz 12MP. Menurut Apple, cip Bionic A13 yang digunakan dalam iPhone SE mampu untuk menambahbaik dalam fotografi Smart HDR, di mana menyantumkan beberapa hasil tangkapan menjadi hanya satu gambar sahaja untuk meningkatkan kecerahan dan ketelitian. Disamping itu, ia mampu merekod video 4k sehingga 60fps dan juga Portrait Mode walau hanya satu lensa sahaja manakala untuk kamera swafoto pula adalah bersaiz 7MP (f/2.2).

Terdapat 3 pilihan warna iaitu hitam, merah, dan putih. Bateri pula adalah sebesar 1,821mAh yang merupakan saiz sama dengan iPhone 8 sebelum ini. Menurut Apple, ketahanan bateri adalah sama sahaja seperti iPhone 8.

Menariknya ia turut menyokong pengecasan pantas 18W dan pengecasan tanpa wayar. Akan tetapi pengecas yang disediakan hanya berkelajuan 5W sahaja. Untuk mengecas dengan kelajuan 18W tersebut, pengguna perlu membeli pengecas yang berasingan.

Di Malaysia, peranti dijual pada harga bermula RM1,999 untuk model 64GB, RM2,199 untuk 128GB, dan RM2,699 untuk 256GB. Namun untuk pembelian, anda masih belum boleh berbuat demikian kerana penghantaran masih belum tersedia.

About J M Riaz

JM Riaz merupakan seorang wartawan hiburan yang gemar membuat liputan berita terkini di dunia. Dia bersemangat untuk membawa orang ramai yang terkini dan terhebat dalam hiburan. JM suka berinteraksi dengan pembacanya dan mendengar pendapat mereka tentang cerita terkini.

Read Previous

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Dr Noor Hisham dijolok antara 3 doktor terbaik dunia dalam usaha perangi COVID-19

Read Next

Pelarian Rohingya gagal berlabuh di Malaysia kembali semula ke Bangladesh, sekurangnya 32 orang maut

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.