The Malaysia Post

Bina kereta ‘buggy’ guna teknologi solar untuk bantu penduduk di luar bandar

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang hampir masuk selama 4 minggu, pastinya ramai yang masih mengeluh kerana perlu berkurung di rumah sahaja. Tetapi bagi mereka yang tahu menggunakan masa terluang sepanjang tempoh ini, pasti ada sahaja yang menarik boleh dilakukan.

Tidak ingin mensia-siakan masa, apatah lagi sepanjang tempoh 14 hari kuarantin diri, Adrian Banie Lasimbang, seorang Senator warga Sabah menggunakan sepenuh masa beliau yang ada untuk menyiapkan sebuah kereta ‘buggy’ berkuasakan tenaga solar.

Adrian Banie Lasimbang, 43 tahun, merupakan seorang Senator di Dewan Negara telah diarahkan untuk mengasingkan diri beliau untuk menjalani kuarantin diri setelah seorang kontak rapat beliau disahkan positif COVID-19. Tempoh kuarantin diri itu digunakan sebaik beliau bercadang untuk melanjutkan projek beliau yang telah lama tertangguh.

Adrian Banie menjalankan pembinaan kereta buggy di bengkel belakang rumahnya

Menurut Adrian, beliau selalu bercadang untuk membina kereta buggy solar, tetapi sering diketepikan kerana beliau serta pasukannya sentiasa sibuk dengan projek hidroelektrik-mikro di Sabah dan juga seluruh negeri.

Senator Dewan Negara ini juga merupakan seorang aktivis yang memperkasakan kawasan luar bandar dan Ketua di Pusat Tenaga Diperbaharui dan Teknologi Bersesuaian (CREATE) di Borneo. Beliau juga adalah seorang peniaga sosial yang mengkhususkan dalam perelektrikan luar bandar. Kebiasaannya, beliau sangat sibuk dengan kerja pembekalan tenaga hidroelektrik-mikro atau pemasangan pam air yang dijana oleh solar untuk kawasan luar bandar serta pedalaman yang mempunyai akses sangat terhad.

Disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Adrian dan pasukannya tidak dapat menjalankan projek yang biasa mereka lakukan, dan sesetengah daripada mereka tidak dapat balik ke kampung halaman. Oleh itu, mereka bercadang untuk membina satu prototaip kereta buggy yang dijana oleh kuasa solar, di mana boleh digunakan oleh komuniti luar bandar dan pedalaman.

Tujuan pelaksanaan tersebut dilakukan adalah untuk membina satu sistem pengangkutan yang berguna dan berpatutan, serta sumber tenaga bagi penduduk di luar bandar. Kebanyakan penduduk dari komuniti luar bandar terutamanya di Sabah sangat bergantung kepada generator yang menggunakan bekalan bahan api yang agak mahal untuk menghasilkan sumber elektrik bagi kegunaan harian. Selain itu, penduduk kampung turut membelanjakan jumlah wang dan masa yang signifikan untuk pergi ke pekan terdekat untuk membawa balik bahan api bagi menjalankan generator dan motorsikal mereka.

Kereta buggy yang dibina itu menggunakan bingkai daripada bahan-bahan daripada bengkel beliau termasuklah panel solar, sistem kuasa elektrikal dengan sistem pandu yang berkuasa motor 5.3 kuasa kuda arus terus (DC) dari bateri ke arus ulang alik (AC). Manakala sistem kemudi pula diambil daripada kereta Proton Wira yang lama. Ianya juga turut dibekalkan dengan penyongsang (inverter), untuk mengawal selia dan menukarkan tenaga aliran arus terus daripada bateri kepada arus ulang-alik yang membolehkan tenaga dibekalkan untuk perkakas eletrik yang lainnya.

Adrian telah menjalankan ujian ke atas buggy tersebut yang menunjukkan bahawa buggy yang dijana oleh solar ini mampu mencapai kelajuan tertinggi iaitu 25 km/j, dengan muatan penumpang seramai enam orang, serta sangat berguna untuk mengangkut padi yang dituai dari sawah padi. Namun begitu, kereta ini masih perlu diperbaiki dari segi keselamatan dan berat walaupun sudah mempunya potensi besar untuk digunakan.

About J M Riaz

JM Riaz merupakan seorang wartawan hiburan yang gemar membuat liputan berita terkini di dunia. Dia bersemangat untuk membawa orang ramai yang terkini dan terhebat dalam hiburan. JM suka berinteraksi dengan pembacanya dan mendengar pendapat mereka tentang cerita terkini.

Read Previous

10 kemahiran yang perlu dikuasai untuk membina kerjaya

Read Next

Bagaimana pengesanan kontak dapat memperlahankan penularan COVID-19

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.