The Malaysia Post

Jenis-jenis plastik yang ramai tidak tahu dan kesan terhadap kesihatan

Plastik merupakan bahan yang amat meluas sekali penggunaannya. Penggunaan plastik yang berleluasa mengakibatkan kebergantungan yang tinggi sehingga hampir semua barangan harian perlu menggunakan plastik walaupun dalam kuantiti yang kecil.

Plastik memerlukan jangka masa yang lama untuk ianya mereput dan terurai, sama ada puluhan tahun sehinggalah ada yang mencecah ratusan ribu tahun mengikut jenis-jenis plastik tersebut.

Tahukah anda, plastik diperbuat daripada bahan-bahan yang berbeza? Terdapat perbezaan antara jenis-jenis plastik yang dibahagikan mengikut kod Society of the Plastics Industry (SPI). SPI telah membuat klasifikasi untuk memberi pendedahan kepada pengguna dan seterusnya membantu pengguna terutamanya ketika melakukan proses kitar semula.

7 jenis plastik yang anda perlu tahu:

1. Polyethylene Terepthalate (PET atau PETE)

Salah satu plastik yang paling banyak digunakan di dunia. 96% daripada botol plastik yang dihasilkan di Amerika Syarikat adalah daripada plastik jenis ini, malangnya hanya 25% yang telah dikitar semula.

Plastik jenis ini diperbuat daripada resin polyester yang tahan lama, kuat dan ringan. Walaupun plastik jenis ini boleh dikitar semula, tetapi ia mengandungi karsinogen atau pencetus kanser.

Jenis plastik PETE biasanya digunakan sebagai botol air mineral, botol minyak, dan botol-botol yang bersifat lutsinar. Plastik jenis ini tidak dicadangkan untuk digunakan lebih daripada sekali.

2. High-Density Polyethylene (HDPE)

Jenis plastik yang paling banyak dikitar semula. Ia disebabkan sifatnya yang keras, kuat, tahan pada suhu tinggi dan suhu rendah.

Plastik HDPE ini merupakan plastik polietilena yang mempunyai ketumpatan tinggi. Plastik ini selamat digunakan. Walaubagaimanapun, tidak disarankan untuk digunakan berulang kali.

Kebanyakan plastik jenis HDPE digunakan sebagai botol detergen, botol syampu, gel mandian dan botol susu.

3. Polyvinyl Chloride (V atau PVC)

Jenis plastik yang paling sedikit dikitar semula, iaitu kira-kira 1% setiap tahun. PVC atau vinyl adalah sejenis plastik yang diperbuat daripada polimer thermoplastik. Ia merupakan jenis plastik yang mudah dibentuk namun sukar untuk dikitar semula.

Tidak digalakkan kerana boleh membahayakan kesihatan. Ia boleh melepaskan bahan berbahaya dan beracun seperti merkuri dan plumbum. Selain itu, ia juga boleh menyebabkan tindak balas alahan di kalangan kanak-kanak.

PVC sering digunakan sebab bahan asas pada pembalut plastik, pelampung dan alatan perubatan.

4. Low-Density Polyethylene (LDPE)

LDPE adalah jenis plastik yang mudah dihasilkan dan fleksibel. Ia juga tidak menghasilkan tindak balas kimia dan selamat untuk penyimpanan makanan dan minuman. Namun begitu, terdapat kajian menyatakan bahawa kebanyakan plastik boleh menjejaskan sistem hormon manusia. Oleh itu, elakkan daripada menggunakan semula plastik jenis ini.

LDPE sering diguna pakai sebagai beg plastik, lapisan dalam kotak minuman dan bekas makanan.

5. Polypropylene (PP)

Plastik jenis ini diperbuat daripada polimer termoplastik yang tahan panas dan kukuh. Ia merupakan jenis plastik yang paling selamat untuk diguna semula. PP adalah berkualiti tinggi serta boleh menghalang kelembapan daripada memasuki ke dalam bekas.

Plastik ini sering digunakan untuk cawan plastik, botol susu bayi, bekas makanan dan juga botol kosmetik. Plastik jenis PP dapat digunakan berkali-kali kerana sifatnya yang tahan lama dan merupakan jenis plastik yang sesuai untuk mengisi makanan dan minuman lebih daripada sekali seperti ‘Tupperware’.

6. Polystyrene or Styrofoam (PS)

PS bersifat ringan dan senang dibentuk kepada plastik serta diperbuat daripada petroleum. Plastik jenis PS biasanya digunakan sebagai bekas makanan dan cawan minuman pakai buang, ia boleh dikategorikan sebagai bahan beracun dan tidak boleh diguna semula.

Jika terdedah pada suhu yang tinggi, ia boleh melepaskan bahan berbahaya yang akan memudaratkan kesihatan. Bahan ini didapati memberi kesan kepada kesihatan otak, sistem reproduksi, gangguan sistem saraf dan sebagainya.

7. Jenis plastik lain

Terdapat plastik jenis lain yang diperbuat daripada dua atau lebih bahan campuran plastik. Ia mungkin mengandungi bahan beracun kerana bahan asasnya tidak jelas. Miscellaneous Plastics polycarbonate, polylactide, acrylic, acrylonitrile butadiene, styrene, fiberglass, dan nylon tergolong dalam jenis plastik lain yang digunakan. Kebanyakan plastik jenis ini digunakan sebagai barangan harian di rumah dan alat-alat elektronik.

Penggunaan plastik dapat memberi manfaat tetapi penggunaan yang berleluasa seharusnya dikawal dan diuruskan dengan bijak dan efektif. Pengetahuan berkenaan plastik dan penggunaannya patut didedahkan kepada pengguna supaya pengguna dapat bertindak bijak dalam mencari alternatif lain atau mengitar semula plastik bagi mengawal penggunaannya.

About J M Riaz

JM Riaz merupakan seorang wartawan hiburan yang gemar membuat liputan berita terkini di dunia. Dia bersemangat untuk membawa orang ramai yang terkini dan terhebat dalam hiburan. JM suka berinteraksi dengan pembacanya dan mendengar pendapat mereka tentang cerita terkini.

Read Previous

Pengeluar kondom utama dunia terpaksa hentikan pengeluaran, bekalan kondom dunia berkurangan

Read Next

Sempena World Backup Day, dikongsikan 3 cara mudah backup data di komputer

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.