The Malaysia Post

Semua jawatan pimpinan Bersatu di Selangor dilucut serta-merta

Semua pimpinan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di setiap peringkat pentadbiran dalam Kerajaan Negeri Selangor akan dilucutkan serta-merta.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminudin Shari berkata, ia susulan daripada tindakan Bersatu mengumumkan keluar daripada Pakatan Harapan (PH) pada 24 Februari lalu.

“Pimpinan tinggi PH telah memaklumkan kepada Sultan Selangor bahawa pentadbiran Selangor tidak lagi dianggotai Bersatu dan secara automatik bukan lagi dalam gabungan Kerajaan Negeri Selangor.

“Justeru, keterlibatan semua pimpinan dan ahli Bersatu adalah terkeluar daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (Exco), Pihak Berkuasa Tempatan, Majlis Permuafakatan Ketua Kampung (MPKK).

“Ini termasuklah anak-anak syarikat kerajaan negeri serta seluruh rangkaiannya yang berkaitan sesuai dengan keadaan politik semasa,” katanya pada sidang media di kediaman rasminya, di sini, hari ini.

Dengan pengumuman itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari antara yang hilang jawatan sebagai Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan Selangor. Dalam pada itu, Amirudin berkata, semua peruntukan kepada semua lima ADUN daripada Bersatu dan dua wakil rakyat bebas dibekukan.

“Dalam masa sama, kita membekukan semua peruntukan yang terlibat dengan mereka termasuk dua orang ADUN bebas atau Pas yang telah dipecat daripada parti di dalam Dewan Negeri Selangor,” katanya.

Menyentuh kedudukan kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Selangor, kesemua tujuh ADUN daripada Bersatu dan bebas akan diletakkan dalam blok pembangkang pada persidangan 16 Mac ini.

“PH Selangor sekarang, kita mempunyai 43 wakil (kerajaan) dan pembangkang pula yang terdiri daripada UMNO, Pas, Bersatu dan bebas yang dinamakan sebagai Perikatan Nasional (PN) terdiri daripada 13 wakil,” katanya.

Selain itu, pihaknya akan mengekalkan jumlah Exco seramai sembilan orang sahaja meskipun wujud kekosongan yang ditinggalkan oleh ADUN daripada Bersatu.

“Kita akan kekalkan sembilan Exco Selangor dan kita akan teruskan walaupun persidangan Dewan Negeri Selangor akan berlangsung pada 16 Mac ini.

“Kekosongan itu tidak akan menjejaskan persidangan itu kerana ketika zaman Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pun boleh berjalan walaupun dengan empat Exco sahaja,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan jumlah wakil kerajaan dan pembangkang akan berubah dari semasa ke semasa.

“Kita juga menunggu sebarang perkembangan dan saya menjangkakan ada perkembangan lain dan kita akan maklumkan jika ada perkembangan,” katanya. 

About J M Riaz

JM Riaz merupakan seorang wartawan hiburan yang gemar membuat liputan berita terkini di dunia. Dia bersemangat untuk membawa orang ramai yang terkini dan terhebat dalam hiburan. JM suka berinteraksi dengan pembacanya dan mendengar pendapat mereka tentang cerita terkini.

Read Previous

Gerakan kerajaan pintu belakang 2008 Anwar Ibrahim

Read Next

Kemelut politik, perubahan kerajaan tidak jejas kes profil tinggi

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.