The Malaysia Post

Stadium Perak selamat digunakan untuk Liga Super

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memberi jaminan Stadium Perak selamat untuk digunakan oleh pasukan Perak untuk perlawanan Liga Super yang dijadualkan bermula Mac depan.

Pengarahnya, Azmi Osman berkata keputusan itu dibuat selepas pemeriksaan yang dilakukan mendapati pihak pengurusan stadium mematuhi peraturan ditetapkan berkaitan langkah keselamatan serta peralatan kecemasan dan kebakaran.

Beliau berkata, sesi taklimat kepada petugas-petugas stadium turut diadakan bagi memberikan penerangan kepada mereka mengenai tindakan yang perlu diambil jika berlaku insiden terutama melibatkan kebakaran ketika perlawanan diadakan.

“Berasaskan kepada pengamatan dan pemeriksaan kita, Stadium Perak ini merupakan satu stadium yang menarik yang mana dari aspek keselamatan kebakaran semuanya dalam keadaan sempurna sebagai contoh sistem hos pemadam api yang baik, alat pemadam api yang diletakkan di tempat-tempat strategik dan paling penting di kawasan stadium terdapat pintu-pintu keluar untuk memudahkan pergerakan penonton jika berlaku sebarang insiden.

“Jadi kita harap penonton dan pasukan pelawat tidak bimbang untuk hadir ke Stadium Perak untuk menyaksikan perlawanan mahupun bermain di sini kerana ia selamat digunakan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Stadium Perak di sini hari ini.

Azmi berkata, pihaknya juga mengatur beberapa strategi untuk memastikan perjalanan Liga Super tahun 2020 ini lancar antaranya dengan menempatkan 16 anggota di sekeliling stadium bersama peralatan asas bagi menangani insiden berkaitan punca nyalaan api.

Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan bahawa Stadium Manjung yang digunakan pasukan Perak II bagi mengharungi Liga Perdana musim ini turut selamat digunakan.

Menurutnya, dua stadium berkenaan akan digunakan sebagai venue bagi Liga Malaysia pada tahun ini.

“Cuma saya ingin nasihatkan kepada penyokong-penyokong yang hadir ke stadium supaya tidak menggunakan sumber-sumber nyalaan seperti mancis dan sebagainya. Jangan lakukan sebarang provokasi yang boleh menimbulkan insiden cemas dan sebagainya.

“Sekiranya berlaku insiden, jangan panik dan bergerak ke pintu-pintu keluar yang disediakan. Kita akan berikan bantuan terutama berkaitan kebakaran,” katanya.

Azmi berkata, pihaknya akan melihat keperluan dari semasa ke semasa dari segi jumlah anggota yang ditempatkan di stadium memandangkan jarak Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh hanya 100 meter daripada Stadium Perak.

About J M Riaz

JM Riaz merupakan seorang wartawan hiburan yang gemar membuat liputan berita terkini di dunia. Dia bersemangat untuk membawa orang ramai yang terkini dan terhebat dalam hiburan. JM suka berinteraksi dengan pembacanya dan mendengar pendapat mereka tentang cerita terkini.

Read Previous

Saham Apple jatuh, jualan dan pengeluaran terjejas akibat COVID-19

Read Next

RM400 juta untuk baik pulih sekolah usang di Sarawak

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.